Monday, February 19, 2018

Najib dicabar jemput pemantau antarabangsa, buktikan tiada penipuan dalam PRU14


AMANAH Wilayah Persekutuan mencabar Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak menjemput pemantau pilihan raya antarabangsa bagi membuktikan bahawa tiada penipuan dalam pilihan raya akan datang.

AMANAH WP tetap curiga dengan ketelusan sistem pengundian dalam pilihan raya negara ini walaupun ia didakwa telah ditambah baik menjadi lebih telus dan tidak memungkinkan akan berlaku penipuan seperti ditegaskan PM baru-baru ini.

Demikian kata Timbalan Pengerusi Amanah WP Tarmizi Mohd Jam dalam satu kenyataan baru-baru ini.

“Terdapat banyak sebab dan bukti pengalaman daripada pelbagai pilihan raya yang sudah ditempuhi. Namun, ia tidak bermakna rakyat perlu menolak pilihan raya atau merosakkan undi sebaliknya menggesa rakyat Malaysia mengundi sebagai langkah mengalahkan penipuan pilihan raya.

“Yang menghairankan, tiba-tiba Najib menjadi takut dan cemas apabila Pakatan Harapan (PH) mahu mengundang pemerhati pilihan raya antarabangsa bagi memantau Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dikatakan tidak memungkinkan akan berlaku penipuan.


Kata beliau, mengapa Najib perlu gusar dengan menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan PH mengadu kepada diplomat Kesatuan Eropah serta menuntut kehadiran pemantau antarabangsa dalam PRU14 sebagai tindakan tersepit dan cubaan untuk mendapatkan bantuan kuasa asing?

Apakah yang sedang dimomokkan oleh Najib dengan “bantuan kuasa asing”? soal beliau.

Tambah beliau, jika itupun ditakuti, AMANAH menegaskan Kerajaan BN patut menerima syor PH agar kerajaan sendiri mengundang pasukan pemerhati pilihan raya yang bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau perjalanan PRU14 yang dijangka sangat mencabar kali ini.

“Najib tidak sepatutnya memberi 1001 alasan lagi.

“Sebagai orang nombor satu negara, Najib pasti tahu apa akibat yang akan ditanggung oleh beliau jika BN kalah dan beliau juga pasti tahu BN akan kecundang jika pilihan raya dijalankan secara bebas dan adil.

“Cakap-cakap Najib dalam sidang media selepas Mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi Umno di PWTC awal Januari lalu hanyalah omongan kosong semata-mata kononnya sistem pengundian di negara ini sangat telus.

Jelasnya lagi, walaupun setelah 13 kali pilihan raya diadakan di negara ini, penipuan pilihan raya masih terus berlaku apabila persempadanan semula yang dilakarkan SPR memihak kepada BN.

“Sudah menjadi rahsia umum, setiap kali persempadanan baharu dikemukakan ia pasti akan menjadi peluang BN menang besar pada pilihan raya berikutnya.

“AMANAH ingin menarik perhatian umum, bagaimana sikap SPR di Selangor sekarang yang terus berdegil dan tidak mahu mengikut perlembagaan apabila masih lagi mengekalkan syor persempadanan pertama sehingga PH terpaksa melakukan sekali lagi bantahan terhadap syor persempadanan kedua yang dipamerkan.

“Terdapat bukti jelas berkenaan adanya merigandering masih berlaku terhadap syor pertama.

Tetapi apa yang terpapar pada peta dan syor kedua yang dihantar SPR semua empat keadaan dalam persempadanan dilanggar iaitu kesamarataan (proximerly equal); hubungan setempat (local ties); pentadbiran persempadanan (administrative boundering); dan tidak melintasi kawasan pilihan raya (crossing constituency), katanya.

Bukankah persempadanan semula SPR ini melanggar perlembagaan? soal beliau.

“Rata-rata rakyat sedar terdapat ribuan nama dalam daftar pemilih yang meragukan dalam senarai pemilih yang tidak mempunyai alamat lengkap, malah tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

“Kategori pengundi pos ditambah dengan merangkumi kakitangan kerajaan yang sebelum ini tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengundi sebagai pengundi biasa.

“AMANAH yakin PH dapat mengalahkan penipuan pilihan raya kali ini dengan kerja berpasukan, profesional dan disokong oleh tsunami celik politik rakyat yang kian kental untuk mengangkat Pakatan Harapan dipersada pucuk kuasa Putrajaya selepas PRU14,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...