Saturday, February 17, 2018

Polis Yan tahan 62 suspek beberapa kes jenayah membabitkan harta awam

Polis Yan tahan 62 suspek
YAN - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan berjaya menyelesaikan beberapa kes jenayah membabitkan harta awam susulan beberapa siri tangkapan dan serbuan dijalankan di daerah ini sejak bulan Disember tahun lalu hingga awal bulan Februari tahun ini.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, operasi yang dijalankan oleh pegawai dan anggota IPD Yan adalah sebagai persediaan menghadapi Ops Selamat sempena Tahun Baharu Cina, tahun ini.

Halim berkata, pihaknya telah berjaya menahan seramai 62 orang suspek berusia antara 17 hingga 51 tahun, membabitkan pelbagai kes kecurian harta awam di daerah berkenaan.

Menurutnya, antara kejayaan itu termasuk, penahanan dua lelaki berusia 25 dan 34 tahun yang aktif mencuri bateri kenderaan seperti bateri kereta dan lori yang diparkir di tempat sunyi melalui Ops Lusuh.

Katanya, susulan tangkapan kedua-dua suspek itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes kecurian bateri serta dapat mengenalpasti dan mengeluarkan saman kepada pemilik tiga buah kedai barangan lusuh di sekitar Guar Chempedak yang dipercayai terlibat dalam urusan beli barangan curi terbabit.


“Kedua-dua suspek yang ditahan positif dadah, dan mereka kini disiasat di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai terlibat dengan kes samun di sekitar Guar Chempedak.

Katanya, lelaki yang berasal dari Kampung Tok Kau dan mempunyai rekod dadah terbabit ditahan berdekatan sebuah stesen minyak di Guar Chempedak.

“Lelaki terbabit ditahan ketika sedang menunggang motosikal dan hasil pemeriksaan pada suspek telah berjaya menemui pelbagai alatan pecah rumah seperti sebilah pisau, topeng dan skru,” katanya.

Suspek terbabit kini didakwa di bawah Seksyen 6(1)Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dalam perkembangan lain, pihak polis masih lagi memburu suspek yang dipercayai terlibat dengan kes samun farmasi, pecah kedai, dan pecah cermin kereta.

Menurut Halim, suspek kes samun yang dicari pernah terlibat di dalam kes samun farmasi dan kedai dobi beberapa bulan lalu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...