Saturday, February 17, 2018

PKR tak pernah halau Pas keluar

PKR tak pernah halau Pas
SHAH ALAM - Kami tak paksa dan tak halau Pas keluar, mereka yang menarik diri kerana tidak mahu ‘bertahaluf siyasi’ dengan kita, demikian penjelasan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkenaan Pas yang telah memutuskan hubungan dengan PKR meskipun kedua-duanya masih bekerjasama di peringkat kerajaan negeri.

Menurutnya, meskipun Pas tidak lagi bersama dengan Pakatan Harapan (Harapan) namun mereka masih bersama-sama menerajui pentadbiran Kerajaan Selangor.

“Kerajaan Harapan terpaksa mengekalkan pemimpin Pas dalam pentadbiran negeri kerana berpaksikan mandat yang telah dipilih oleh rakyat pada PRU13 lalu.

“Namun pentadbiran antara kedua-duanya semakin di penghujung jalan dan mungkin pada April atau Mei, dun akan dibubarkan dan mandat akan habis. Kita pulangkan semula kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang jauh lebih baik,” katanya ketika ditemu bual semasa program FB Live Sinar Harian di pejabat Sinar Harian, di sini semalam.

Pada masa sama, Adun Sri Muda itu turut menegaskan bahawa Pas masih menerajui pentadbiran Selangor atas dasar kerajaan negeri mahu mempertahankan semangat perikatan yang dibentuk dalam Pakatan Rakyat (PR) membabitkan PKR, Pas dan DAP selepas memenangi PRU13 Selangor.

“Kesemua adun dari ketiga-tiga parti diberi mandat waktu itu atas semangat PR dan perikatan itu yang telah mengikat kita (Pas dan PKR) sehingga ke hari ini.

“Pada Mei 2013 pula, kita berjaya tadbir negeri ini. Bagi kerajaan negeri hari ini kami mesti mempertahankan semangat itu kerana itu pilihan rakyat,” katanya.

Katanya lagi, kerjasama di peringkat negeri itu diteruskan lantaran rakyat Selangor mahu melihat kerajaan yang baik dan yang diurus secara bertanggungjawab kekal.

“Mereka tidak mahu melihat perpecahan meskipun Pas sudah menarik diri daripada bersama Harapan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...