Monday, March 12, 2018

Kenapa PAS tidak kata penutupan 1MDB selepas hutang tidak realistik

KENYATAAN MEDIA PEMUDA PARTI AMANAH NEGARA


KENAPA PAS TIDAK KATA PENUTUPAN 1MDB SELEPAS HABIS BAYAR HUTANG TIDAK REALISTIK

1. Kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan bahawa tawaran Pakatan Harapan untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak realistik menunjukkan halatuju PAS sekarang yang menyokong dasar regresif dan zalim pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional. Setelah perlaksanaan GST lebih 2 tahun ini, harga barang melonjak naik yang begitu membebankan rakyat. PAS sebaliknya gagal memberikan tawaran yang realistik bagi mengatasi bebanan rakyat akibat GST.

2. Ironinya, dalam pada masa yang sama PAS tidak pula mendakwa hasrat kerajaan untuk menutup 1MDB selepas pinjaman selesai dibayar tidak realistik, walaupun menyedari bahawa hutang 1MDB ditanggung oleh kerajaan Malaysia. Terbaru, kerajaan dikatakan terpaksa berhutang RM2 bilion untuk membeli semula projek Exchange 106 di TRX daripada Mulia Group. Bukankah penutupan 1MDB selepas langkah-langkah rasionalisasi 1MDB melibatkan wang rakyat?

3. Di samping itu, 1MDB bukan sahaja melibatkan bebanan hutang puluhan bilion ringgit, tetapi juga ia adalah isu skandal penyelewengan wang negara hampir RM20 bilion yang kini menjadi subjek siasatan di seluruh dunia termasuk oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat. Bukankah penutupan 1MDB tanpa penjenayah-penjenayah yang menyeleweng wang 1MDB termasuk Jho Low dan MO1 didakwa merupakan satu langkah menyelamatkan mereka daripada gerigi besi Sungai Buluh?

4. Sikap membisu PAS dalam isu 1MDB menunjukkan ketidakprihatinan mereka terhadap masalah bebanan hidup rakyat kerana skandal mega ini memberikan kesan kepada nilai mata wang negara yang menyebabkan kenaikan harga barang dan kesusutan hasil negara. Akibatnya, kerajaan terpaksa mengenakan GST bagi menampung kekeringan kantung negara disebabkan oleh ketirisan wang negara akibat skandal-skandal penyelewengan terutama 1MDB. Sikap PAS yang mempertahankan GST dan skandal 1MDB adalah signal jelas bahawa PAS tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat.

FAIZ FADZIL
TIMBALAN KETUA PEMUDA AMANAH NASIONAL

12 MAC 2018

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...