Monday, August 6, 2018

Mukhriz minta Jakim salur segera bantuan sekolah agama

Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir
JERLUN – Kerajaan Kedah mahu bantuan pembangunan dan makanan kepada sekolah agama di negeri ini yang dijanjikan kerajaan terdahulu sebelum PRU14 pada Mei lepas disalurkan secepat mungkin.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata ini kerana beberapa negeri lain telahpun mendapat bantuan tersebut yang disalurkan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) namun malangnya Kedah masih hanya 'memegang' replika cek yang disifatkan sebagai gimik PRU14.

"Saya lihat apa dilakukan kerajaan sebelum ini sangat-sangat tidak patut kerana hanya sekadar dapatkan publisiti tapi bantuan sebenar tidak sampai pun," katanya selepas merasmikan Majlis Ziarah Kasih bersama warga pondok di Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah Melele, Padang Sera hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata mahu berbincang dengan Jakim agar bantuan tersebut yang telah dijanjikan kerajaan terdahulu dapat dilunaskan secepat mungkin.

Mukhriz berkata, sepatutnya replika cek hanya digunakan untuk tujuan majlis dan ia perlulah disekalikan dengan cek sebenar bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam pembayaran.


Sementara itu, Mukhriz berkata tidak ada satu pun sekolah agama dan maahad tahfiz di negeri ini yang dikesan menjadi pusat penyebaran dakyah militan dan aktiviti keganasan, seperti didakwa pihak tertentu.

Beliau berkata malahan insititusi pondok selama ini terbukti penting sebagai benteng pengukuhan akidah selain mempertahankan kesucian agama Islam dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini

Sehubungan itu beliau menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau apa yang ditonton oleh anak-anak mereka memandangkan propaganda jahat tersebut banyak disebarkan melalui internet dan sudah tentu boleh diakses di mana-mana sahaja.

"Sekarang ini kalau kita tengok video (dakyah militan) ini cara penerbitan seperti filem Hollywood, kita pun tertanya dari mana datang kepakaran buat video seperti itu di tengah medan perang dengan kelengkapan serba canggih dan keupayaan penerbitan begitu baik," katanya.

Terdahulu Mukhriz yang juga anggota Parlimen Jerlun menyerahkan cek bantuan pelajar miskin kepada enam sekolah dan insitusi agama di kawasan Parlimen Jerlun antaranya Maktab Pengajian Islam Negeri Kedah, Al Madrasah Al Imaniyyah Ad Dalawiyah dan Ribat Nasrul-Muhajirin serta Pondok Permatang Kaka.- Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...