Monday, August 6, 2018

Tiada sekolah agama, tahfiz di Kedah terlibat militan - Mukhriz

Tiada sekolah agama, tahfiz di Kedah terlibat militan
KODIANG - Kerajaan Negeri berhasrat mewujudkan jawatankuasa terdiri daripada pelbagai agensi untuk merangka strategi berkesan mengekang unsur militan daripada menyusup dalam institusi pondok dan tahfiz di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, walaupun tiada sekolah agama dan tahfiz di Kedah dikaitkan dengan pusat penyebaran dakyah militan, namun ia suatu keperluan susulan golongan muda terdedah kepada maklumat tanpa sempadan yang diperoleh daripada sumber internet.

Menurutnya, kebanjiran bahan propaganda itu disebar secara meluas dalam bentuk penerbitan video mahupun komunikasi menerusi laman sosial.

“Siasatan pihak berkuasa mendapati, tidak ada satu pun sekolah agama di Kedah dikesan mengajar perkara tidak sepatutnya, seperti mendorong warga pondok untuk jihad ke luar negara atau Syria. Antara unsur pengaruhi mereka adalah propaganda melalui internet,” katanya, selepas hadir Program Jalinan Kasih bersama warga pondok di Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah (Pondok Melele), hari ini.

Mukhriz berkata, antara yang dibimbangi mempengaruhi pemikiran anak muda adalah wujudnya klip video yang diterbitkan ala Hollywood, menggunakan kepakaran teknologi untuk menarik minat golongan itu.


“Ini membimbangkan, medium lain termasuk komunikasi melalui pihak tidak dikenali. Walaupun kita ada jawatankuasa dalam jabatan tertentu termasuk polis dan Majlis Agama Islam Kedah,

saya rasa gandingan semua jabatan adalah terbaik, saya berhasrat gabungkan semua agar dapat rangka strategi banteras kegiatan ini,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mukhriz berkata, tuduhan kononnya terdapat institusi pondok di negeri ini terlibat dengan aktiviti berbentuk militan adalah tidak benar.

“Institusi pondoklah yang selama ini terbukti mempertahankan kesucian agama Islam dan Ahli Sunnah Wal Jamaahdi negeri ini. Institusi pondok dan tahfiz terbukti mempunyai asas kukuh dalam melahirkan modal insan, dengan mengutamakan pentarbiyahan rohani selari dengan ilmu agama dan duniawi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin institusi pondok akan kekal relevan seiring dengan kemajuan sosial dan ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...