Sunday, April 8, 2018

Mat Ramlee bantu Lang Merah


Wartawan Sinar Harian
Mohamad Ramlee
ALOR SETAR - Pasukan Liga Super Kedah mendapatkan khidmat bekas 'kereta kebal' Hijau Kuning era 80-an, Mohamad Ramlee untuk membantu pasukan tersebut pada baki saingan Liga Malaysia musim 2018.

Mohamad yang juga Ketua Jurulatih Bawah 19 Tahun Piala Belia Kedah akan bergandingan dengan bekas sepasukannya yang juga Pemangku Ketua Jurulatih Utama Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof bersama Penolong Jurulatih, Azzmi Aziz dan Megat Amir Faisal.

Pengurus Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin berkata, pihaknya memanggil Mohamad untuk bersama skuad utama membantu memperkemaskan taktikal pasukan terutamanya di bahagian pertahanan.

Pengalaman luas dan kemahiran jurulatih yang mesra disapa Mat Ramlee itu semasa beraksi bersama Hijau Kuning diperlukan malah beliau juga berjaya meraih pelbagai kejayaan bersama pasukan pembangunan terutamanya membantu Kedah muncul juara Piala Belia 2017.


"Kami memanggil Mat Ramlee untuk membantu kerana sedar ada posisi yang perlu diberi perhatian terutamanya pertahanan dan dalam hal ini kami memerlukan jurulatih yang mempunyai pengalaman di bahagian tersebut.

"Pada peringkat awal ini beliau hadir sebagai pembantu kerana masih mempunyai komitmen dengan pasukan Piala Belia Kedah. Sebarang perubahan berhubung pelantikan rasmi akan diumumkan kemudian," katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan Kedah mengatasi Perlis 3-0 pada aksi persahabatan di Stadium Darul Aman, petang semalam.

Mohamad ketika ditemui berkata, beliau bersedia untuk membantu pasukan Liga Super Kedah dan menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk mempertimbangkan perkara tersebut.

Kedah muncul pasukan mencatatkan bolos tertinggi dengan 12 gol selepas lima perlawanan di peringkat Liga Super.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...