Sunday, April 8, 2018

Patriot peringatkan jangan guna dana, kemudahan kerajaan untuk PRU

Patriot peringatkan jangan guna dana, kemudahan kerajaan untuk PRU
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), mengingatkan ahli politik Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan dan negeri, ahli politik Pakatan Harapan (PH) di Selangor dan Pulau Pinang, ahli politik Pas di Kelantan, bahawa negara kini ditadbir oleh kerajaan sementara.

Peringatan itu juga turut ditujukan kepada semua penjawat awam terutamanya di peringkat tertinggi, pegawai tertinggi tentera dan polis.

Presidennya, BG Datuk Mohamed Arshad Raji (B) berkata, dana awam tidak diperuntukkan melainkan jika ia digunakan untuk kegunaan rutin atau kecemasan.

Aset-aset kerajaan, hartanah, sumber manusia tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan politik, ujarnya.

“Penggunaan aset ketenteraan, termasuk pesawat, helikopter, kapal tentera laut, oleh mana-mana ahli politik dalam kerajaan sementara, adalah dilarang keras.


“Mana-mana penyalahgunaannya adalah terang-terangan mengabaikan undang-undang. Ia adalah salah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Patriot juga jelasnya, ingin mengulangi rayuan mereka kepada ahli dan parti politik dari kedua-dua belah pihak, sila perjuangkan isu-isu, sama ada yang mempunyai kepentingan nasional mahupun tempatan.

Patriot katanya, memohon supaya jangan menggunakan politik kebencian; bangsa dan agama, untuk mengganggu-gugat keharmonian kaum yang rapuh.

“Patriot amat mengambil peduli mengenai isu-isu seperti ini.

“Kami berusaha untuk merealisasikan Visi kami – Malaysia: negara yang harmoni, makmur dan progresif,” jelas beliau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...